Thursday, 6 February 2014

MAKANAN PEJAL TIDAK SESUAI UNTUK BAYI BAWAH 6 BULAN



Bayi hanya boleh diperkenalkan kepada makanan pejal selepas berusia enam bulan. Memberi anak makan makanan pejal sebelum mereka bersedia boleh meningkatkan kemungkinan berhadapan dengan masalah alergi dan jangkitan.
Lazimnya, selepas berusia enam bulan, bayi sudah bersedia untuk mengambil makanan pejal. Pada usia ini, bayi sudah boleh duduk dengan sokongan, mampu mengawal kepala dan sudah boleh menggerakkan makanan di dalam mulutnya. Sistem penghadaman dan imun pun semakin kuat. Ketika ini mereka semakin berminat terhadap makanan dan mula ingin mengunyah.
Untuk pengetahuan anda, ada banyak makanan tidak sesuai untuk bayi berusia bawah enam tahun. Antaranya ialah makanan yang mengandungi gandum, gluten, telur, ikan, kerang-kerangan, hati, dan keju yang tidak dipasteur. Hal ini adalah kerana sistem imun bayi masih terlalu muda untuk berhadapan dengan makanan yang boleh menyebabkan alergi atau makanan yang mungkin mengandungi bakteria yang berbahaya.
Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa memberi anak makan awal boleh membantu mereka tidur nyenyak akan tetapi tidak ada bukti yang menyokong penyataan ini. Sekiranya bayi anda pramatang, eloklah berjumpa pakar pediatrik sebelum memperkenalkan makanan pejal kepadanya.
Bersama-sama ini ada beberapa cadangan agar memperkenalkan makanan pejal kepada bayi anda lebih mudah:
  • Ikut kehendak bayi anda. Bayi perlu belajar untuk menggerakkan makanan daripada lidahnya ke tekak dan kemudian menelannya.
  • Berikan makanan dalam kuantiti yang bersesuaian. Jangan memaksa anak makan terlalu banyak kerana saiz perutnya sangat kecil.
  • Sentiasa pastikan anda berada di sisi anak ketika dia sedang makan bagi memastikan dia tidak tercekik.
  • Jangan memaksa anak untuk makan. Bayi tahu berapa jumlah makanan yang mereka perlukan. Biasanya mereka akan menolak makanan yang anda suapkan apabila sudah kenyang.


Namun, selepas umur 6 bulan, bayi memerlukan makanan pejal, kerana susu badan sahaja tidak mencukupi untuk keperluan badan. Bayi yang tidak diberi makanan  pejal selepas 6 bulan akan mengalami kekurangan zat makanan, terutamanya zat besi. Ini pula akan menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan minda bayi.
Bayi perlu membiasakan diri dengan kaedah pemakanan baru apabila diberi makanan pejal. Kaedah-kaedah berikut mungkin membantu:
  • Mula-mula, gunakan sudu untuk memberikan sedikit susu. Apabila bayi telah biasa makan menggunakan sudu, makanan pejal yang lembut boleh diberikan.
  • Mulakan dengan satu atau dua sudu makanan. Selepas beberapa hari, makanan pejal boleh diberikan dua, dan seterusnya tiga kali sehari. Makanan pejal yang sesuai untuk permulaan adalah makanan dengan tesktur yang rata dan rasa yang tawar (‘smooth consistency and flat taste’). Contohnya, kanji, ubi kentang yang dilenyetkan, sayur-sayuran yang tidak berserabut, seperti lobak merah atau lobak putih, atau puri buah-buahan yang lembut, seperti pisang atau epal.
  • Jangan tambahkan makanan pejal ke dalam botol susu.
  • Jangan tambahkan garam atau gula kepada makanan bayi.
  • Makanan pejal boleh dicampurkan dengan sedikit susu badan atau air masak.
  • Mulakan makanan baru satu demi satu supaya dapat mengenalpasti apa-apa alahan makanan.
  • Sekiranya bayi tidak mahu makan sesuatu makanan baru, cuba berikan makanan itu sekali lagi, selepas beberapa hari. Kadangkala bayi akan mengambil makanan tersebut setelah mencuba beberapa kali dan telah membiasakan dirinya dengan rasa baru.
Apabila bayi berumur 6 bulan, makanan pejal harus dimulakan dan ditingkatkan perlahan-lahan. Dalam beberapa minggu, makanan dengan rasa, tekstur, warna dan suhu yang berlainan boleh diperkenalkan. Apabila bayi mengambil lebih banyak makanan pejal, pengambilan susu akan berkurangan. Pada tahap ini, bayi perlu diberi sedikit ikan, ayam atau sumber protein lain, untuk menggantikan protein dalam susu. Pastikan tiada tulang dalam makanan bayi.
Pada umur 6 hingga 9 bulan, makanan yang lebih berketul (lumpy) boleh dimulakan. Apabila bayi boleh duduk, berikan makanan yang boleh dipegang sendiri, seperti biskut atau buah-buahan yang dipotong kecil seperti tembikai dan pisang. Seboleh-bolehnya, bayi perlu beransur-ansur diberi makanan yang biasa dimakan oleh keluarga, supaya bayi dapat membiasakan diri dengan tekstur dan rasa makanan keluarga.
Apabila bayi menghampiri umur SATU tahun, bayi boleh makan bersama-sama dengan keluarga. Makanan seperti ayam, ikan, sayur dan nasi boleh diberikan. Makanan boleh dikisar atau dipotong kecil. Elakkan makanan kecil yang keras seperti kacang ‘pea’ yang mungkin boleh tersumbat dalam salur pernafasan bayi. Elakkan makanan yang terlalu pedas, serta garam dan gula berlebihan. Bayi boleh cuba makan sendiri dengan menggunakan sudu.

Makanan yang perlu dielakkan pada peringkat awal ~
  1. Jangan berikan madu lebah kepada bayi di bawah umur 1 tahun, kerana madu kadangkala mengandungi kuman, yang boleh menyebabkan penyakit berbahaya dalam bayi (‘infant botulism’).
  2. Telur tidak patut diberikan sebelum umur 6 bulan. Selepas itu, bayi boleh diberikan telur yang perlu dimasak penuh, sehingga putih dan kuning telur menjadi keras, untuk mengelakkan jangkitan kuman.
  3. Kacang keras tidak boleh diberikan kepada bayi di bawah umur 5 tahun, kerana bahaya tersumbat dalam salur pernafasan. Kacang yang dikisar atau ditumbuk halus boleh diberikan selepas 6 bulan.
  4. Makanan rendah-lemak, rendah-kalori dan serat-tinggi  tidak sesuai untuk bayi. Bayi memerlukan tenaga yang tinggi untuk tumbesaran dan memerlukan makanan yang berlemak, dengan kandungan vitamin dan mineral yang mencukupi.
Bayi perlu diperhatikan dengan teliti ketika makan, untuk memastikan bayi tidak tercekik. Kita boleh meningkatkan minat bayi dengan membenarkan bayi untuk cuba makan dengan sendiri, menggunakan tangan atau sudu.
Sekiranya bayi digalakkan duduk dan makan bersama-sama dengan keluarga, bayi akan cuba meniru ahli keluarga lain, dan mencuba makanan yang dimakan oleh keluarga. Sekiranya bayi tidak mahu makan, kita tidak perlu paksa, tetapi boleh cuba lagi pada masa lain.
Pemulaan makanan pejal akan membuka dunia baru untuk bayi, dengan banyak peluang pembelajaran. Jadikanlah masa makan suatu pengalaman yang seronok dan menarik untuk bayi anda..




No comments:

Post a Comment